Sunday, August 1, 2010

ZAINAL DAN SITI NIRZAWATI BAWA HARAPAN SABAH

KOTA KINABALU: Zainal Mohd Isa, peserta dari Wilayah persekutuan Labuan dan Siti Nirzawati Mohd Syom yang mewakili daerah Keningau dinobatkan sebagai Johan Lelaki dan Wanita dalam Pertandingan Bintang Klasik Nasional Peringkat Zon Sabah 2010 sekaligus membawa harapan Sabah untuk mengekalkan rekod terbaik Sabah.

Penerbit rancangan tersebut, Rozali @ Sonny Bahari yang ditemui media berkata, “kita harap kedua-dua peserta ini dapat mengekalkan rekod terbaik Sabah setakat ini iaitu sebagai Naib Johan di peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur, November ini.”

Zainal yang mendendangkan lagu Hanya Dinda dan Siti Nirzawati dengan Lagu Anak Rantau masing-masing menerima wang tunai RM2000, trofi, sijil penyertaan dan jambangan bunga yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Pentaran Mesra RTM, dekat sini petang tadi.


Vokal yang baik dalam lagu Harapan Kecewa oleh Fazrul Misran (Kota Kinabalu) dan Siti Naqiah (Ranau) dengan lagu Mengapa Dirindu membawa mereka sebagai Naib Johan pertandingan tersebut. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1500, trofi dan sijil penyertaan.

Harapan Kecewa.....nyanyian yang sangat baik cuma kurang bernasib baik kali ini.

Mengapa Dirindu...permulaan yang baik untuk Naqiah.

Tempat Ketiga pula diraih oleh peserta-peserta yang mewakili daerah Sandakan iaitu Suhailei Zinul dan Rosmiah Amat yang menerima wang tunai RM1000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara, empat peserta lain terdiri daripada Mohd Faizal Ali Othman (Semporna), Farahziana Timbang (Kota Kinabalu), Sarinah Sapri (Wilayah Persekutuan Labuan) dan Noorhayati Abdullah (Kudat) masing-masing menerima saguhati berupa wang tunai RM500 serta sijil penyertaan.
Tiada Kata Secantik Bahasa...Suhailei lincah atas pentas.

Hapuslah Air Matamu...kelebihan Rosmiah ialah pada suara yang lantang.

Gelap Gelita....Peserta pilihan penonton yang bagaimanapun, keputusan adalah di tangan juri.

Asmara Bertemu...Sarinah beraksi dengan yakin kerana pengalamannya semasa Bintang Klasik Nasional 2008.

Pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi sabah fm dan sabah vfm (kadazan) itu diiringi oleh Kombo RTM Sabah yang diketuai oleh Mozes Vasanthan De Silva dan dipimpin oleh Nadia Hong Siang Ting. Manakala, para penari latar diundang dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid dan Pengawal Berita Ehwal Semasa mewakili Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Jumat Engson.


ALBUM...Datuk Rosnah (empat dari kanan) dan Zubad bersama para pemenang Bintang Klasik Nasional 2010.

TEKS: KELUPIS FOTO: VOLITINE