Wednesday, December 23, 2009

RTM KOMITED KETENGAH BAKAT ANAK-ANAK SABAH

(Utusan Borneo;24/12/2009;pg.24) (New Sabah Times;24/12/2009;pg.10 & 11)

Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah akan sentiasa komited dalam usahanya mencungkil bakat seni suara di kalangan anak-anak tempatan untuk diketengahkan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Pemangku Pengarah Penyiaran Kawasan Sabah, Ali Haji Ngasio dalam teks ucapannya berkata antara program berkenaan ialah pertandingan Bintang Klasik Nasional, Bintang RTM, Rentak Juara, Bintang P. Ramlee dan Saloma dan Bintang Remaja.

Beliau berkata demikian semasa rakaman langsung program radio, Titian Mesra Khas Krismas 2009 dan Tahun Baharu 2010 di Buhavan Square, Donggonggon Penampang baru-baru ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengelola hiburan dan Muzik RTM Sabah, Norane Ahmad.

Katanya, Sabah mempunyai peminat seni berbakat besar yang perlu diketengahkan di samping menyemarakkan industri muzik tanah air.

Menurut Ali, ramai peserta dari negeri ini yang berjaya mendapat tempat pada setiap pertandingan di peringkat kebangsaan.

“Bakat mereka wajar diasah dan masyarakat perlu memberi sokongan moral terhadap artis kelahiran tempatan. Ini perlu agar bakat mereka terus gemilang pada masa akan datang,” ujarnya.

Majlis anjuran RTM Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Penampang itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Philip Lasimbang.

Rancangan Titian Mesra ke udara setiap Ahad menerusi Sabah fm Bagus Bah! pada jam 8 malam. Bagaimanapun, Titian Mesra Khas Krismas kali ini akan disiarkan pada 25 Disember ini jam 8 malam, diterbitkan oleh Minami T. Anduini. Juru acara pada majlis tersebut ialah Penyampai Sabah fm, Noraniza Nordin dan Penyampai Sabah Vfm yang juga artis Sabah, Denis Primus.

Seramai lapan artis tempatan hasil daripada pertandingan anjuran RTM turut menghiburkan penonton pada program tersebut. Mereka terdiri daripada Clare Petrus Edwin, Betcy Micheal, Valerie Wong, Melchell Poudi, Janrywine J. Lusin, Zuraidah Ahmad dan Suib Zainin.

Kemunculan Clare Petrus Edwin nyata mampu mengubat kerinduan peminatnya menerusi lagu yang termuat dalam album sulungnya ‘Kotobian Tadau Krismas’. Sementara Valarie Wong yang masih lincah di atas pentas mendendangkan lagu ‘White Christmas’, ‘Jat Da Da’ dan Chinese Medley.

Selain sibuk dengan persiapan Krismas secara sederhana, rata-rata artis yang ditemui media menyatakan rasa syukur dan bersedia menyambut kedatangan tahun baharu 2010 dengan pelbagai perancangan masing-masing.

Pemenang Anugerah Pelakon Wanita PERTISA tahun lalu, Clarice John Martha selain sibuk dengan urusan keluarga selepas kelahiran cahaya matanya, sempat mempromosi salah satu lagu dalam album terbaharu beliau bertajuk ‘Arayou’ dalam rancangan tersebut.

Beberapa artis yang kini dalam proses mengumpul material untuk menerbitkan album pada tahun 2010 termasuklah Janrywine J. Lusin yang terkenal dengan lagunya ‘Tatapon Noh Ginavo Nu’ dan guru vocal, Betcy Micheal yang dikenali menerusi lagu ‘Manda Sisimba’.

Penyanyi-penyanyi yang dicungkil bakatnya oleh RTM Sabah seperti Melchell Poudi dan Suib Zainin berkata selain memenuhi banyak undangan, mereka kini menunggu lampu hijau untuk merakamkan album sulung masing-masing. Turut kedengaran, anak didik kepada penyanyi Diana Stephen, Zuraidah Ahmad juga dikhabarkan akan muncul dengan ‘single’ pertamanya Januari depan.



Norane Ahmad mewakili Pemangku Pengarah RTM Sabah pada majlis tersebut. (kanan)
Datuk Philip sentiasa memberi sokongan kepada usaha-usaha mengetengahkan bakat anak-anak tempatan.(kiri)

Kredibiliti Clarice di atas pentas masih mantap walaupun sudah bergelar ibu. (kanan)
Clare….kini mengikuti jurusan Muzik di Universiti Malaysia Sabah. (kiri)


Melchell…bakat dicungkil dari Pertandingan Bintang Remaja. (kanan)
Zuraidah…meletakkan kepercayaan kepada Asmin Mudin sebagai komposer dalam ‘single’nya. (kiri)

Norane (dua dari kanan, berdiri) bersama Juru Acara dan barisan artis serta anggota-anggota Kombo RTM. Dari kanan: Dennis, Noraniza, Minami, Janrywine, Clarice, Clare, Betcy, Zuraidah, Valerie, Suib, Melchell dan Sonny Bahari. Turut kelihatan penyanyi-penyanyi latar teridiri daripada pelajar praktikum di Bahagian Hiburan & Muzik, RTM KK.

Minami...Penerbit muda yang 'cool' dan sentiasa memastikan yang terbaik untuk pendengar.

FOTO: ROSLIA G. (RTM SABAH)

Sunday, December 20, 2009

DUA WAKIL SABAH KE FINAL BINTANG IRAMA MALAYSIA 2009

(New Sabah Times; 15/12/2009; pg 10 & 11)


Nurul Fazilah, penyanyi yang tidak asing lagi kerana sering menyertai pertandingan di sekitar Kota Kinbalu. Manakala, Lee Cheng Vun pernah menjuarai Pertandingan Bintang Kecil anjuran RTM Sabah.

KOTA KINABALU : Dua orang peserta dari Negeri Sabah iaitu Nurul Fadzilah Noordin (Kota Belud) dan Lee Cheng Wen (Kota Kinabalu) terpilih mewakili negeri ini ke Pertandingan Bintang Irama Malaysia 2009 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Auditorium Angkasapuri Kuala Lumpur, 21 Januari depan.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Encik Salehhuddin Mohd Salleh mengumumkan keputusan tersebut di pejabatnya di sini,baru-baru ini.

Seramai 14 peserta yang telah melalui peringkat saringan di seluruh daerah di negeri ini berentap dalam sesi pemilihan pada 15 November lalu yang dipilih oleh tokoh irama Malaysia tersohor, Pak Ngah Suhaimi dan komposer lagu-lagu puisi, Siso.


Pengarah JKKN Sabah, Salehhuddin Mohd Salleh dan anggotanya sentiasa komited dalam mencungkil bakat Irama Malaysia di negeri ini.

Ketika diminta mengulas tentang persembahan para peserta, Pak Ngah berkata, “Berbanding negeri-negeri lain, Sabah kaya dengan bakat dan potensi yang besar. Walaupun masyarakat di Sabah adalah Bumiputera tetapi mereka mampu membawakan lagu-lagu irama Malaysia dengan baik. Malah antara mereka ada yang benar-benar menonjol dan layak ke pertandingan akhir nanti.”

Memandangkan kebanyakan peserta yang hadir keliru dengan konsep irama Malaysia, Siso menyarankan agar media turut memainkan peranan untuk memperjelaskan konsep irama Malaysia agar mudah difahami oleh seluruh masyarakat.

Menurutnya, irama Malaysia merupakan satu genre muzik baru yang sama tahapnya dengan genre muzik yang lain seperti rock, pop, R & B dan lain-lain.

Tambah beliau, “Irama Malaysia memerlukan penampilan popular dengan gaya terkini dan sedikit elemen etnik tradisional. Ia berbeza dengan penyampaian lagu-lagu asli yang memerlukan penyanyi yang mengenakan pakaian songket, baju Melayu, cucuk sanggul dan sebagainya.”

“Contohnya, Dato’ Siti Nurhaliza. Beliau merupakan penyanyi pop tetapi menyanyikan lagu-lagu irama Malaysia. Begitu juga dengan M.Nasir penampilannya kontemporari tetapi lagu-lagu yang dinyanyikannya mempunyai unsur-unsur irama Malaysia seperti lagu Bonda, Mantera Semerah Padi dan banyak lagi,” tambahnya lagi.

Para peserta yang layak ke final dinasihakan agar berusaha menyanyikan lagu-lagu yang mereka tidak jangka berikutan pemilihan lagu akan ditetapkan oleh penganjur dan perlu terus berlatih untuk memantapkan persembahan masing-masing.



Marcel dan Hafsyam masing-masing mempunyai kekuatan dalam menyanyikan lagu ‘Bonda’.


Julifah dan Fazrul turut memberi saingan hebat.

Sesi pemilihan itu menyaksikan persaingan sengit antara Lee Cheng Vun, Fazrul Misran, Nurul Fazilah termasuk Julifah yang sudah termasuk dalam senarai pendek serta dua lagi peserta yang menjadi favourite juri iaitu Hafsyam dan Marcel yang sama-sama memilih lagu ‘Bonda’. Bagaimanapun, hanya Lee Cheng Vun yang menyanyikan lagu ‘Di Pinggir Kayangan’ dan Fazilah yang mengalunkan lagu ‘Cindai’ diumumkan sebagai wakil Sabah ke pertandingan tersebut.




Peserta-peserta yang tidak bernasib baik tetapi telah berjaya menunjukkan persembahan yang tidak kurang hebat.
TEKS: KELUPIS
JFOTO: TAULANI H.

Friday, December 11, 2009

PERMULAAN UNTUK KONSERT MEGA TAHUN DEPAN

(New Sabah Times; 12 Disember 2009; pg.10)
Utusan Borneo; 10 Disember 2009)

“D’Angels mencipta sejarah kerana sejak Buhavan Square diwujudkan, inilah persembahan muzikal berbentuk okestra yang pertama kali diadakan di sini…” kata Datuk Philip Benedict Lasimbang merangkap Penaung Persatuan Artis Sabah (PERTISA).

Kata-kata semangat ini diberikan tentunya untuk seluruh anggota D’Angles Music and Education Center semasa merasmikan Mini Konsert Pelajar-pelajar D’Angels dengan konsep “From Studio to Live Performance” di Pekan Donggonggon Penampang, baru baru ini.


Jelas beliau, “mempelajari muzik merupakan aktiviti sihat dan tidak rugi untuk dipelajari oleh anak-anak muda zaman sekarang kerana ia merupakan satu disiplin ilmu yang bukan semua orang tahu mengenainya. Selain itu, mereka juga mempunyai peluang bermain muzik di atas pentas sambil disaksikan penonton dan ini bukanlah satu perkara yang mudah.”

Datuk Philip yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia mengucapkan syabas kepada D’Angels kerana dapat melihat lebih jauh arah tujuan perkembangan muzik tempatan. Beliau turut menyarankan agar pusat muzik tersebut dapat menjadikan konsert pelajar-pelajarnya sebagai aktiviti tahunan dan bertapak sebagai pengusaha akademik muzik milik Bumiputera Sabah yang disegani di masa akan datang.

Seramai 20 orang pelajar bergabung dengan lima orang tutor membentuk Mini Okestra D’Angels yang mengiringi persembahan nyanyian pada malam tersebut. Difahamkan, mini okestra ini akan ditambah jumlah anggotanya dan dijangka akan memulakan sesi latihan selewat-lewatnya pada awal Februari depan sebagai persiapan konsert mega yang bakal menghimpunkan para artis, pemuzik dan penggiat seni tempatan di Stadium Bukit Jalil.

Pengurusnya, Diana S.Tuning berkata “D’Angels komited dan teliti dalam setiap perancangan yang dibuat dan mini konsert inilah permulaannya dan perlu dimanfaatkan oleh semua pelajar D’Angels.”

“Malah, saya harap konsert mega yang pernah kami war-warkan di media sebelum ini dapat direalisasikan dengan dengan jayanya. Apa yang penting adalah komitmen dan kerjasama serta bantuan semua pihak untuk konsert itu kelak,” tambah beliau.


Pada mini konsert yang berlangsung selama dua jam itu, lebih 10 lagu didendangkan oleh para pelajar vokal terdiri daripada Nur Syahirah Zhammanee dengan lagu ‘I Have A Dream’; Jesseca Sipilli dengan ‘Tenda Biru’; Cindy Louis dengan lagu popular Ivy Alexandra ‘Hitiku Poingandad’; Hentera David yang menyanyikan lagu emak saudaranya ‘Kada No Soroho’; Latina Lumidang dengan lagu tempatan ‘Asaldan’ nyanyian asal Lydia Kalidin dan lagu diva tanahair Jacklyn Victor ‘Bertamu di Kalbu’ gubahan baharu oleh George Anak Sanged yang didendangkan Zuraidah Ahmad. Seorang lagi pelajar vocal D’Angels iaitu S.Welly yang kini semakin matang dalam setiap persembahannya muncul dengan lagu ‘Kasih Kau Pergi’ dan ‘Ku Ke Udara lagi’.

Turut membuat persembahan tutor vocal, Ridzuan @ Alfred Idang yang berduet dengan penyusun Muzik Mini Okestra d’Angels, George Anak Sanged menerusi lagu ‘Hatiku Kekal Padamu’ dan lagu 'Tong Hua' nyanyian solo oleh Ridzuan.

Tidak ketinggalan, Diana sebagai ‘conduct’ mini okestra tidak menghampakan peminatnya. Beliau menyanyikan lagu pembukaan dan penutup bersama D’Angels Harmony. Tenaga pengajar lain yang terlibat dalam mini okestra ini ialaj tutor gitar Esther S. tuning; tutor drum, Joel Jacob dan tutor piano dan violin, Siti Nur Hidayah Md Noh Sophian. Masing-masing mengetuai kumpulan instrument bersama anak-anak murid mereka.

Pujian juga harus diberikan kepada komposer terkenal Sabah, Asmin Mudin yang telah meluangkan masa dan hadir untuk memberi sokongan kepada konsert tersebut.
TEKS: KELUPIS
FOTO: VICKY M & D'ANGELS

Friday, November 20, 2009

D'ANGELS OKESTRA GEGARKAN BUHAVAN SQUARE RABU INI

(Utusan Borneo; 22/11/2009; pg.22)
Bersempena dengan musim cuti persekolahan kali ini, orang ramai, ibu bapa pelajar dan para pencinta muzik khususnya di Sabah adalah dijemput hadir bagi menyaksikan dan memberi sokongan kepada Mini Konsert Pelajar-pelajar D’Angels dengan tema “dari studio ke persembahan langsung” secara percuma di Buhavan Square, Donggonggon Penampang bermula jam 7.00 malam, Rabu ini.

Pusat muzik dan tusyen milik Bumiputera itu buat pertama kalinya menampilkan Mini Okestra D’Angels menggabungkan 20 orang pelajar dan lima orang tenaga pengajar selama tiga jam secara ekslusif menerusi persembahan ‘live’ di depan penonton. Manakala, tetamu kehormat ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Philip Benedict Lasimbang merangkap Penaung Persatuan Artis Sabah (PERTISA).


S. Welly dan Diana bersama D’Angels Harmony adalah antara penyanyi yang akan membuat persembahan dan dikhabarkan juga bahawa tetamu kehormat akan bersama-sama Mini Okestra D’Angels mendendangkan lagu ciptaan komposer ulung Sabah, Asmin Mudin.

Antara objektif mini konsert ini ialah untuk memberi peluang kepada para pelajar muzik untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari dalam studio ke situasi sebenar. Malah, membuat persembahan secara mini okestra juga bertujuan untuk memberi cabaran kepada para pelajar bermain alat muzik secara berkumpulan dengan satu disiplin selain membina keyakinan dan keberanian.

Sumber: Pengurus D’Angels Music & Education Center, Diana Stephen Tuning.

Wartawan : Kelupis
Jurufoto : Vicky M.

Diana: "Eee, panat sia ni, jgn la ko tnya bnyk2 tu.." Kelupis: "Iya ya..cckit lg ni, sifu.."


Ni tutor gitar, jgn kamurang main2 bljar. Dia pndai makan urang ni....hehe..Jgn mara ah,Bie!


Ni la Penyusun Muzik Mini Okestra D'Angles...George Sarawak,pewiiittt..Plg penting ni urang, klu kana kidnap indak la ku tau apa mcm Rabu nti..


Nahh...ni penting jgk. Cikgu Joe guru vokal merangkap konduktor bas Donggongon-KK jln terus!Tp mcm tiada hrpan tu pengkidnap tau..;)

Tuesday, November 3, 2009

“APA KAU LAGU”@SANDAKAN FM MARTABATKAN LAGU-LAGU TEMPATAN

(New Sabah Times;04/11/2009; pg.10)

Penggiat seni tempatan seperti penyanyi, komposer dan penulis lirik, penerbit album, pengusaha studio rakaman serta individu ataupun organisasi berkaitan seni tempatan kini berpeluang mempromosikan lagu ataupun album mereka sama ada baru ataupun lama menerusi Segmen Zoom Sandakan fm dalam Slot “Apa Kau Lagu” di frekuensi 90.1 MHz, Sandakan fm-Bersamamu.

Mula bersiaran pada 04 April 2009, rancangan “Apa Kau Lagu” kelolaan penyampai radio muda berasal dari daerah Papar iaitu Maznan Yunus atau lebih dikenali sebagai Penyampai Jill dengan tagline “Mantap tue Joe!” kini semakin diminati ramai.

“Kalau media mampu mempromosikan lagu-lagu luar negara dengan meluas,. Kenapa tidak kita gunakan media ini untuk memartabatkan lagu-lagu tempatan Sabah..”- Pengawal Sandakan fm, Razali Haji Baba.

Tinjauan serta respon yang diterima mendapati ramai di kalangan pendengar menantikan siaran ini ke udara pada setiap Sabtu, jam2.00 hingga 3.00 petang.

Pengawal Penyiaran Radio Malaysia Sandakan fm, Encik Razali Haji Baba yang ditemui media di pejabatnya baru-baru ini, berkata konsep rancangan tersebut ialah mengetengahkan seorang tetamu undangan ke studio pada setiap minggu sama ada untuk mempromosikan album terbaharu ataupun memperkenalkan artis-artis tempatan tidak kira artis lama ataupun baharu di samping hebahan info tempatan.


Beliau sentiasa komited dan mengingatkan para penyampai radio di Sandakan fm untuk memastikan lagu-lagu tempatan tidak dilupakan oleh pendengar.


“Signifikan rancangan ini ialah dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Sabah dan lagu-lagu yang diputarkan juga adalah lagu-lagu ciptaan tempatan seperti lagu-lagu dalam bahasa Kadazan/Dusun, Sungai, Bajau dan sebagainya,” jelas Razali.

Tambah beliau, “tetamu yang diundang ke studio terdiri daripada penggiat seni tempatan seperti artis, komposer, pemuzik, penulis lirik, penerbit album, pengusaha studio rakaman ataupun individu-individu yang terlibat secara langsung dalam industri seni di negeri Sabah sama ada lama ataupun baharu.”


Menurutnya, objektif rancangan ini ialah untuk memperkenalkan lagu-lagu dan artis tempatan kepada para pendengar terutamanya di daerah terpencil seperti Beluran, Kinabatangan, Paitan, Sugud, Pinangoh dan Telupid, yang mana kawasan-kawasan ini sebahagiannya tidak dapat menerima siaran Sabah fm ataupun Sabah V fm. Dengan pendekatan dan cara penyampaian yang tersendiri, “Apa Kau Lagu” ini bertujuan untuk mengangkat martabat karya seni serta budaya tempatan khususnya di negeri Sabah.



“Saya berbangga dengan lagu-lagu tempatan. Mantap tue joe!”- Penyampai Jill.




Penyampai Jill yang turut ditemui berkata, “walaupun mendapat kritikan di peringkat awal, kami tetap berpegang pada objektif asal iaitu untuk memartabatkan karya seni tempatan. Alhamdulillah, kini sudah masuk enam bulan siaran ini ke udara dan saya amat berpuashati dengan respon dan sambutan yang amat menggalakkan daripada pendengar.”

Kepada yang berminat Sandakan fm amat mengalu-alukan penyertaan anda dalam Slot “Apa Kau Lagu”. Anda boleh menghubungi Pengawal Penyiaran Sandakan fm di talian 089-669842/669463, faksimili 089-667202, melalui email sandakanfm2u@gmail.com atau datang sendiri ke pejabat Sandakan fm, Tingkat 6, Wisma Persekutuan, KM 11, Jalan Labuk, Sandakan utuk keterangan lanjut.

Usaha sebegini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penggiat seni di negeri ini kerana Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sentiasa memberi sokongan, ruang dan peluang kepada perkembangan industri seni tempatan.

“Apa Kau Lagu” ke udara setiap Sabtu, jam 2 hingga 3 petang di Sandakan fm, 90.1 MHz.
WARTAWAN : KELUPIS
JURUFOTO: JEFFREN MALANING

Friday, October 30, 2009

DI SINI BERMULA...

Hari ini dalam Slot "Apa Kau Lagu" menerusi siaran SANDAKAN FM di 90.1 MH bermula jam 2 hingga 3 petang suaranya akan berkumandang bersama DJ Jill... Bercerita tentang latar seni serta kerjaya dan perkembangan terbaharunya..Siapakah itu???Suspen oh!huhuuu...
Anda yang berada di luar Sandakan juga boleh mengikuti "Apa Kau Lagu" ini sama ada melalui laman web http://sandakanfm.gov.my/ ATAUPUN blog http://sandakanfm2u.blogspot.com/

Friday, October 23, 2009

MAHAGURU TERIMA ADK

Sebaik saja menerima Senarai Penerima Kurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah Tahun 2009 yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negeri Kota Kinabalu malam tadi, saya pun tinguk2 la itu sinarai...satu demi satu.

Jeng jeng jenggggg....akhirnya! Tahniah untuk semua penerima bintang. Saya tumpang gembira dan berbangga apabila ASMIN MUDIN disenaraikan sebagai Penerima Bintang ADK (Ahli Darjah Kinabalu). Alhamdulillah, siapa kata orang seni tidak dapat pengiktirafan di negara ini. Syabas dan Tahniah, guru! ;-)